close-up-solar-panel

SME tidak boleh mengabaikan aspek alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG)

27 November 2023 / By Othman
SME perlu praktikkan ESG

PETALING JAYA: Para pemain dalam industri peruncitan dan Enterprise Kecil dan Sederhana (SME) tidak boleh mengabaikan aspek alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) supaya aktiviti perniagaan mereka tidak terjejas pada masa depan.

Pengarah Urusan Gading Solar Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata,  di seluruh dunia ESG berkembang merentas industri dan sektor peruncitan serta SME tidak terkecuali.

Katanya, daripada pengguna, pembekal, pengedar dan pengeluar, kajian menunjukkan mereka semakin mementing elemen SEG sebelum mahu menjalin kontrak atau kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Berdasarkan Indeks Masa Depan Pengguna Ernst & Young, 24 peratus daripada ‘GenZ’ dan ‘Millennials’ menyemak sama ada produk, servis atau outlet mengutamakan alam sekitar berbanding berbanding hanya empat peratus  ‘Baby Boomers’ (generasi lama.

“Kira-kira 21 peratus ‘GenZ  dan Millennials berhenti membeli produk jika jenama itu tiada usaha membantu alam sekitar (berbanding generasi Baby Boomer hanya enam peratus)

“Angka ini nampak kecil dan mereka bukan majoriti pengguna, tetapi jumlah ini akan meningkat pada masa depan.  Mereka mengutamakan ESG dan memboikot produk yang tidak selari dengan ESG. Ini adalah trend yang bergema merentasi latar belakang sosiodemografi,” katanya.

Guntor berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk ESG Cabaran dan Peluang Industri Peruncitan sempena Simposium Peruncitan Kebangsaan 2023 (SParK 2023) bertemakan Peruncitan Masa Hadapan: Menelusuri Landskap Perniagaan bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Simposium itu anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Gading Solar Sdn. Bhd., adalah antara syarikat peneraju dalam industri tenaga boleh baharu di negara ini terutama yang berasaskan solar.

Menurut Guntor, untuk masa depan kepatuhan kepada ESG sangat penting dan peruncit perlu  berkembang selari dengan kesedaran pengguna, jika tidak produk mereka akan terpinggir atau sukar untuk memaju dan mengembangkan perniagaan.

Kenapa sektor peruncitan dan SME perlu patuh ESG? 

Menurut Guntor, kedua-dua sektor ini perlu menguasai SEG kerana ia adalah keperluan untuk kekal relevan di masa depan.

Katanya, sektor peruncitan dan SME ini nampak sahaja kecil, tetapi mereka adalah sebahagian daripada rantaian industri yang lebih besar yang ada antaranya berpangkalan di peringkat global yang mana peraturan dan kawal selia mementingkan alam sekitar dan kelestarian.

“Semakin banyak negara dan kerajaan mula memperkenalkan peraturan tentang ESG, pelepasan karbon dan peratusan penggunaan tenaga boleh baharu dalam menghasil dan memasarkan sesuatu produk, barangan atau perkhidmatan.

“Jadi kita walaupun kecil di sektor peruncitan tidak terkecuali, kena bersedia. Pengguna dan pengawal selia semakin menuntut ketelusan dan kepatuhan tinggi terhadap isu ESG.

“Kalau kita tidak patuh mungkin akan ada implikasi kewangan. Contohnya barangan kita tidak boleh masuk ke Eropah atau Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Selain itu kata, sektor kewangan juga sekarang telah mula menjadikan ESG sebagai salah satu syarat dalam permohonan pembiayaan.

“Untuk layak dapat pembiayaan daripada institusi kewangan kita mesti ada elemen ESG dalam perniagaan, Yang patuh ESG lebih mudah dapat pembiayaan,” jelasnya.

Selain itu katanya ia berkaitan dengan pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia, kos efektif dan mengatasi kekurangan sumber.

esg

Isu utama ESG dalam Sektor Peruncitan dan SME

Menurut Guntor, ESG penting untuk memastikan rangkaian bekalan terus bertahan untuk masa depan.

Katanya, ini ekoran  terdapat semakin banyak pihak terutama dari negara maju yang tidak lagi mahu berurus niaga dengan kumpulan yang tidak patuh pada ESG sama ada untuk membekalkan barangan atau menerima bekalan.

“AS, EU dan Jerman baru-baru ini menerima pakai peraturan baharu rantaian bekalan ke pasaran mereka iaityu mesti bebas isu hak asasi manusia dan alam sekitar.

“Tidak patuh dengan peraturan baharu boleh dikenakan denda atau liabiliti sivil lain termasuk barangan di rampas. Ini merugikan kita,” katanya.

Selain itu kata beliau, komitmen negara terhadap sasaran sifar karbon atau  decarbonization juga memerlukan sumbangan daripada SME dan sektor peruncitan.

Katanya, kedua-dua sektor itu juga perlu bersadia untuk terlibat dalam kontrak hijau atau green contract di mana pembekal-pembekal utama hanya akan menandatangani kontrak pembekalan dengan peruncit atau SME yang patuk kepada klausa ESG.

“Contohnya ada kumpulan yang menggelar diri mereka ‘The Chancery Lane Project,’ iaitu rangkaian peguam global dan pemimpin perniagaan yang menggunakan kontrak hijau untuk memerangi perubahan iklim dan menyampaikan penyahkarbonan secara cepat dan adil”,” katanya.

Bagaimana menangani isu ini?

Untuk mencapai sasaran ini kata Guntor, para pemain dalam industri peruncitan kena mula membina ekosistem yang neutral karbon bagi mewujudkan rantaian bekalan mampan dan memupuk ekonomi yang berdaya tahan.

Beberapa perkara utama untuk mencapai matlamat ini seperti visi dan misi yang jelas

Terhadap amalan ESG di premis mereka seperti penjimatan tenaga elektrik, menggunakan peralatan yang tidak mengeluarkan karbon termasuk penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar.

“Bagi kedai runcit pasar mini misalnya, mungkin boleh pasang lampu pintar yang akan pada, jika tiada pelanggan dan menyala dengan sendiri apabila pelanggan masuk.

“Untuk SME mereka boleh bermula dengan melakukan audit tenaga supaya tidak berlaku pembaziran  dan mempertimbangkan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Bagi yang ada premis atau gudang dengan bumbung yang luas mungkin boleh manfaatkannya dengan memasang solar. Tenaga elektrik yang dijana oleh solar ini selain bagi kegunaan sendiri, ia juga boleh dieksport ke grid TNB,” jelasnya.

Katanya, langkah-langkah kecil dan mudah ini sebenarnya dapat membantu mempersiapkan sektor peruncitan dan SME untuk SEG.

“Perlu diingat, untuk membina ekosistem neutral karbon, rantaian bekalan dan ekonomi yang berdaya tahan dan mampan adalah perjalanan yang berterusan. Ia memerlukan dedikasi, inovasi dan kerjasama.

“Hanya dengan berpandangan jauh, anda sebagai peruncit dan SME boleh memberi sumbangan bermakna yang lebih mampan dan masa depan yang berdaya tahan,” katanya.

Leave a Comment
*Please complete all fields correctly