close-up-solar-panel

Gading Kencana tawar kepakaran EPCC untuk sektor tenaga boleh baharu

04 March 2026 / By Othman
Gading Kencana tawar kepakaran EPCC untuk sektor tenaga boleh baharu

Gading Kencana tawar kepakaran EPCC untuk sektor tenaga boleh baharu

Seiring peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan, keperluan terhadap pelaksanaan projek tenaga boleh baharu yang cekap, bersepadu dan berteknologi tinggi semakin mendesak, Gading Kencana Sdn. Bhd. kini fokus kepada khidmat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, Gading Kencana tampil menawarkan kepakaran EPCC sebagai penyelesaian menyeluruh bagi menyokong pembangunan projek solar, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta penaiktarafan dan integrasi grid.

Katanya, penglibatan Gading Kencana membuktikan syarikat bumiputera juga mempunyai kepakaran, keupayaan dan kebolehan dalam bidang yang semakin mendapat permintaan ekoran peralihan tenaga negara.

Menurut Guntor, secara tidak langsung pembabutan mereka memastikan bumiputera juga di perkasa dan tidak ketinggalan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) khususnya dalam bidang EPCC.

“Tidak banyak syarikat bumiputera yang terlibat dalam bidang ini dan kami adalah salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan EPCC yang komprehensif,” katanya.

Guntor berkata, khidmat EPCC yang disediakan oleh Gading Kencana merangkumi keseluruhan kitaran hayat projek daripada kajian awal dan reka bentuk kejuruteraan, perolehan peralatan kritikal, pembinaan dan pemasangan, sehinggalah proses pentauliahan dan integrasi sistem ke dalam rangkaian sedia ada.

“Model ini membolehkan pelanggan dan pemilik projek mengurangkan risiko teknikal serta memastikan penyelarasan optimum antara pelbagai komponen teknologi tenaga hijau.

“Dalam segmen tenaga solar, Gading Kencana menyediakan perkhidmatan EPCC bagi projek solar berskala utiliti, komersial dan industri.

“Ini termasuk reka bentuk sistem yang dioptimumkan mengikut keadaan tapak, pemilihan modul dan inverter berprestasi tinggi, serta pengurusan pembinaan yang menepati piawaian keselamatan dan keperluan pengawal selia. Fokus diberikan kepada kebolehpercayaan jangka panjang dan kecekapan penjanaan tenaga bagi memaksimumkan pulangan pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Guntor berkata, bagi BESS yang semakin diiktiraf sebagai pelengkap penting kepada sistem solar dan grid moden, Gading Kencana menawarkan kepakaran dalam integrasi sistem bateri, pengurusan tenaga dan kawalan keselamatan.

Katanya, pelaksanaan EPCC bagi BESS melibatkan penilaian teknikal yang teliti, pemilihan teknologi bateri yang sesuai, serta penyepaduan dengan sistem grid dan loji penjanaan sedia ada.

Pendekatan itu katanya, membantu meningkatkan kestabilan bekalan, mengurangkan turun naik tenaga dan menyokong kebolehharapan sistem tenaga nasional.

“Dalam perkembangan pesat ekosistem kenderaan elektrik (EV), Gading Kencana turut menawarkan penyelesaian EPCC bagi pembangunan infrastruktur pengecasan. Ini merangkumi reka bentuk rangkaian pengecas, pemasangan peralatan, penyambungan kepada grid serta pentauliahan sistem yang mematuhi piawaian keselamatan dan prestasi.

“Penyepaduan dengan sumber tenaga boleh baharu dan sistem pengurusan tenaga turut diberi penekanan bagi menyokong penggunaan EV yang lebih mampan,” jelas beliau.

Selain itu katanya, aspek grid dan infrastruktur sokongan menjadi elemen penting dalam peralihan tenaga dan Gading Kencana menyediakan kepakaran EPCC bagi kerja-kerja pengukuhan grid, integrasi tenaga boleh baharu, sistem kawalan dan perlindungan, serta sambungan loji tenaga ke rangkaian utama.

“Keupayaan ini penting bagi memastikan pertumbuhan kapasiti tenaga hijau dapat disokong tanpa menjejaskan kestabilan dan keselamatan sistem elektrik negara.

“Keunikan pendekatan EPCC Gading Kencana terletak pada pengurusan risiko yang menyeluruh dan kawalan kualiti di setiap peringkat projek. Dengan pasukan kejuruteraan berpengalaman dan rangkaian rakan teknologi yang kukuh, syarikat ini memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, bajet dan jadual yang dipersetujui.

“Proses pentauliahan yang teliti pula memastikan sistem beroperasi secara optimum sebelum diserahkan kepada pelanggan,” jelasnya.

Sebagai syarikat tempatan, Guntor berkata, Gading Kencana melihat penglibatan dalam sektor tenaga boleh baharu bukan sekadar peluang perniagaan, tetapi tanggungjawab strategik kepada negara.

Melalui pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi dan pelaksanaan projek bernilai tinggi, kepakaran EPCC yang ditawarkan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem tenaga hijau Malaysia. “Dengan kepakaran merentas solar, BESS, EV dan grid, Gading Kencana bersedia menjadi rakan EPCC yang dipercayai dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah sistem yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya

Solar Rakyat

Leave a Comment
*Please complete all fields correctly