TBB: Jangan pinggirkan syarikat bumiputera berkebolehan
Oleh Ir. Guntor Tobeng
PERALIHAN Malaysia ke arah tenaga boleh baharu (TBB) kini berada di fasa kritikal. Dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, pelaksanaan Rangka Kerja Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta kemunculan teknologi baharu seperti solar berskala besar dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), sektor ini bukan sahaja strategik dari sudut alam sekitar, malah bernilai berbilion ringgit kepada ekonomi negara.
Penekanan khusus yang diberikan oleh kerajaan terhadap industri dan potensi untuk memanfaatkan Grid Tenaga ASEAN turut mengundang minat syarikat-syarikat dari luar negara untuk ‘menuai’ tenaga boleh baharu di Malaysia terutamanya solar.
Namun, di sebalik momentum ini, wujud persoalan besar yang semakin sukar diketepikan. Adakah terdapat pihak-pihak yang terlepas pandang akan pembabitan syarikat bumiputera? Ini kerana kebelakangan seolah-olah syarikat bumiputera yang terbukti memiliki kebolehan dipinggirkan, khususnya dalam projek-projek utama yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?
Hakikat yang perlu diakui ialah sebahagian besar projek TBB berskala besar – sama ada ladang solar, infrastruktur grid, sistem penyimpanan tenaga atau projek hibrid – dilaksanakan melalui GLC atau anak syarikatnya.
Nilai kontrak mencecah berbilion ringgit. Secara prinsipnya, GLC seharusnya menjadi pemangkin pembangunan industri tempatan, termasuk membina kapasiti syarikat bumiputera yang berdaya saing.
Namun realitinya, peluang ini sering dimonopoli oleh pemain yang sama, termasuk syarikat asing atau konsortium bukan bumiputera, dengan syarikat bumiputera sekadar dijadikan subkontraktor kecil atau ‘pelengkap syarat’.
Lebih membimbangkan, terdapat kecenderungan dalam sesetengah projek GLC untuk meletakkan keperluan teknikal dan kewangan yang tinggi, tetapi pada masa sama gagal menyediakan mekanisme sebenar bagi membolehkan syarikat bumiputera yang berkelayakan bersaing secara adil.
Akibatnya, naratif ‘syarikat bumiputera tidak cukup besar atau tidak cukup mampu’ terus digunakan – walaupun terdapat bukti jelas wujudnya syarikat bumiputera yang memiliki kepakaran EPCC, rekod prestasi kukuh, pematuhan piawaian antarabangsa serta keupayaan mendapatkan pembiayaan.
Persoalannya, jika bukan dalam projek GLC, di manakah lagi ruang untuk syarikat bumiputera membina skala dan kekuatan sebenar? Pasaran tenaga boleh baharu bukan pasaran bebas sepenuhnya.
Ia sangat bergantung kepada dasar kerajaan, lesen, konsesi, perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan akses kepada infrastruktur grid – kesemuanya berada dalam lingkungan pengaruh kerajaan dan GLC.
Justeru, kegagalan memastikan penyertaan bermakna syarikat bumiputera bukan isu kebetulan, tetapi mencerminkan kelemahan struktur dan keutamaan dasar.
“Lebih kritikal, amalan tokenism masih berleluasa. Ada syarikat bumiputera yang dinamakan sebagai rakan strategik, tetapi tidak diberi peranan substantif dalam reka bentuk, pembiayaan, pemilikan teknologi atau keputusan utama projek.”
Lebih kritikal, amalan tokenism masih berleluasa. Ada syarikat bumiputera yang dinamakan sebagai rakan strategik, tetapi tidak diberi peranan substantif dalam reka bentuk, pembiayaan, pemilikan teknologi atau keputusan utama projek.
Mereka kekal di pinggir rantaian nilai, sedangkan nilai sebenar dan pembelajaran industri tertumpu kepada pemain utama. Dalam jangka panjang, ini bukan sahaja menafikan keadilan ekonomi, malah melemahkan daya tahan industri tempatan.
GLC perlu dipersoalkan secara terbuka. Adakah mereka benar-benar melaksanakan mandat pembangunan negara, atau sekadar beroperasi seperti entiti komersial biasa yang memilih jalan paling mudah?
Projek tenaga hijau bukan projek biasa. Ia melibatkan kepentingan awam, dana besar, dan masa depan sistem tenaga negara. Oleh itu, pertimbangan ‘nilai untuk negara’ seharusnya melangkaui harga terendah dan rekod lama semata-mata, kepada pembinaan kapasiti domestik yang mampan.
Ini tidak bermaksud piawaian perlu direndahkan atau merit diketepikan. Sebaliknya, syarikat bumiputera berkebolehan perlu diberi akses yang adil dan telus untuk bersaing pada tahap sebenar – termasuk sebagai pemaju utama, rakan konsortium setara, atau peneraju teknologi tertentu.
Mekanisme seperti pembahagian pakej projek, keperluan pemindahan teknologi yang tulen, dan sasaran pemilikan ekuiti bermakna boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan kecekapan.
Pada masa sama, syarikat bumiputera sendiri perlu berani keluar daripada zon selesa. Tadbir urus korporat, ketelusan kewangan, pelaburan dalam R&D dan pembangunan bakat mesti diperkukuh. Namun usaha ini akan menjadi sia-sia jika pintu kepada projek strategik terus tertutup rapat.
Tenaga boleh baharu adalah industri masa depan, dan GLC berada di tengah-tengah ekosistem ini. Jika projek berbilion ringgit terus berlegar dalam kelompok terhad, Malaysia berisiko mengulangi kesilapan lama – membina industri besar tanpa penglibatan bermakna pemain tempatan bumiputera.
Akhirnya, kita bukan sahaja gagal mencapai keadilan ekonomi, malah kehilangan peluang membina kekuatan nasional yang sebenar.
Perlu diingat, sebahagian besar syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri tenaga boleh baharu ini bersaing secara adil di lapangan. Sebahagian daripada mereka adalah kumpulan pertama yang bertanggungjawab merangka dan mencorakkan landskap indutsri ini di Malaysia sejak dari awal.
Oleh itu, adalah tidak adil, ketika ia berkembang daripada nilai ratusan juta kepada bilion, tiba-tiba syarikat-syarikat bumiputera yang sama-sama menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri tenaga hijau ini hilang dari radar.
Sudah tiba masanya dasar dan pelaksanaan diselaraskan dengan lebih berani. Jangan pinggirkan syarikat bumiputera berkebolehan – bukan atas dasar simpati, tetapi atas dasar merit dan demi kepentingan strategik negara.


About The Author
Othman