2026 LONJAK SEKTOR TENAGA BOLEH BAHARU
Sektor tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia bakal mengalami pertumbuhan ketara pada tahun 2026 berdasarkan kepada perkembangan permintaan di peringkat domestik mahupun serantau.
Di peringkat domestik misalnya, ia didorong oleh peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data selain momentum yang terhasil daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER), dan pelaksanaan projek utama.
Ketika ini Malaysia menyasarkan 40 peratus TBB dalam kapasiti terpasang menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050, dengan pelepasan sifar bersih disasarkan seawal tahun 2050.
Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu syarikat bumiputera yang terlibat secara meluas dalam industri tenaga boleh baharu, Dato’ Ir. Guntor Tobeng, pada tahun 2026 juga, solar akan mendominasi sektor TBB di negara ini.
Katanya, kenyataan itu berdasarkan pelaksanaan Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) dengan kapasiti 2,000MW diikuti LSS6 yang tendernya bakal dikeluarkan pada bila-bila masa.
Di samping itu, katanya, Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), dan inisiatif Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (MyBEST) akan turut membantu melonjak sektor ini pada tahun 2026.
Selain itu kata Guntor, sektor TBB tidak terhad kepada penjanaan tenaga daripada sumber bersih sahaja. Banyak sektor hiliran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan TBB terutama aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang semakin meningkat pada Suku Pertama 2026.
“EPCC yang juga salah satu kepakaran Gading Kencana sangat penting dalam merancakkan pertumbuhan sektor TBB di negara ini,” kata Guntur.
Selain itu katanya, peruntukan dalam Belanjawan 2026, termasuk lanjutan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 5.0) hingga Disember 2026 dan pengenalan cukai karbon, akan menjadi pemangkin pelaburan, menggerakkan sekitar RM6-14 bilion modal swasta untuk infrastruktur solar dan berkaitan.
2026 LONJAK SEKTOR TENAGA BOLEH BAHARU (Sambungan)
PEMACU PERTUMBUHAN UTAMA Menurut Guntor, keyakinan terhadap lonjakan sektor TBB adalah berdasarkan kepada potensi terhadap permintaan tenaga bersih yang semakin berkembang. Contohnya, kata beliau, ledakan pusat data di negara menuntut penggunaan tenaga yang tinggi dan selari dengan dasar antarabangsa yang menuju sifar karbon sudah tentu TBB akan menjadi keutamaan.
“Pengembangan pusat data memacu permintaan kuasa, memacu perolehan TBB melalui program korporat seperti CRESS dan CGPP,” katanya.
Selain itu katanya, dasar kerajaan seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 turut menjurus kepada lonjakan TBB di negara ini. Katanya, melalui belanjawan itu dasar dan insentif terhadap tenaga hijau terus diperkukuhkan dan dimantapkan lagi dengan pelancaran LSS6 (2 GW) yang dijadualkan pada Suku Pertama 2026 selain lanjutan GTFS dan pelancaran cukai karbon untuk menggalakkan penyahkarbonan.
Selain itu, kata Guntor, apabila teknologi semakin berkembang kos daya saing dan kos penjanaan juga semakin rendah apabila ekonomi skala menjadikan solar lebih murah daripada loji bahan api fosil. “Permintaan korporat melalui program seperti CGPP dan CRESS membolehkan pembelian TBB secara langsung, dengan projek meningkatkan operasi komersial pada tahun 2026.
Integrasi grid dan storan termasuk pelaburan dalam sistem storan tenaga bateri (BESS) dan solar hidro-terapung hibrid akan terus menyokong lonjakan ini. “Kapasiti TBB diunjurkan berkembang pesat ke arah 18-30 GW menjelang 2035,” katanya.
Bagi perkhidmatan EPCC pula katanya, ia membuka peluang pelaburan sekitar RM13 bilion hingga RM14 bilion daripada program utama dan GLIC/GLC pula mampu menggerakkan projek bernilai lebih RM16 bilion dalam tahun 2026,” katanya.
CABARAN TAHUN 2026 Bagaimanapun kata Guntor, di sebalik perkembangan positif itu, industri solar di negara ini dikejutkan keputusan China menghapuskan rebat eksport sembilan peratus ke atas semua peralatan solar. Katanya, ini akan menyebabkan harga import meningkat yang menyebabkan kenaikan harga sel solar.
“Ini akan menjejaskan keuntungan solar di negara ini terutama LSS kerana tender dibuat berdasarkan kepada harga sebelum ini. Ini pasti akan memberi kepada harga EPCC,” katanya. Oleh itu semua pihak terutama kerajaan perlu memberi perhatian kepada perkembangan terbaru di China ini supaya ia tidak menjejaskan dasar tenaga boleh baharu negara, terutama projek-projek LSS yang telah diluluskan tender.


About The Author
Othman