close-up-solar-panel

Peralihan tenaga: Adakah kita bersedia?

06 November 2023 / By Othman
peralihan tenaga

PERALIHAN tenaga sudah menjadi topik yang semakin kerap diperkatakan. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang akan menggariskan strategi menyeluruh serta inisiatif berimpak tinggi sekali gus mempercepat usaha peralihan tenaga negara.

Tetapi persoalan yang kita perlu tanya di sini adalah, di sebalik segala riuh rendah, hiruk-pikuk peralihan tenaga ini adakah kita sebenarnya sudah bersedia?
Kita sebagai rakyat, sebagai pemain industri, sebagai kerajaan dan sebagai negara adakah benar-benar bersedia dengan peralihan atau transisi tenaga ini?

Adakah kita di setiap peringkat faham akan maksud peralihan ini? Ini bukan setakat memperkenalkan kereta elektrik (EV), tetapi merangkumi setiap aspek. Daripada gaya hidup rakyat, pendekatan industri hingga kepada tatakelola kerajaan.

Yang pertama, rakyat sebagai pengguna akhir peralihan tenaga daripada konvensional kenapa tenaga boleh baharu (TBB) atau tenaga hijau perlu bersedia. Jika mereka tidak bersedia maka segala pelan atau dasar yang diperkenalkan tidak akan berhasil.

Sebagai pemain yang terlibat dalam peralihan tenaga ini sejak 1998, saya yakin rakyat di negara ini majoritinya bersedia kepada peralihan ini.
Ini berdasarkan pengalaman menyediakan perkhidmatan membekalkan TBB terutama solar yang sentiasa ada pertanyaan. Ia datang dari semua peringkat sama ada T20, M40 malah B40 juga ada yang bertanya kemungkinan khidmat ini ada yang sesuai dengan bajet mereka.

Ada dua kategori rakyat yang berminat dengan TBB terutama solar ini.
Yang pertama sebagai gaya hidup. Iaitu golongan yang ada keupayaan untuk dilihat sebagai kumpulan yang mementingkan alam sekitar dengan menggunakan tenaga hijau dalam kehidupan seharian.
Golongan kedua ialah yang mahukan penjimatan. Iaitu mereka mahu menggunakan tenaga yang berasaskan solar jika ia menjimatkan berbanding konvensional. Lebih-lebih lagi apabila berlaku perubahan pada tarif elektrik.

Gaya hidup mampan dan pelaburan untuk mengurangkan bil tenaga dan kesan alam sekitar.

Malah tinjauan oleh firma audit Ernst & Young (EY) selama dua tahun berturut-turut ke atas 70,000 pengguna tenaga di 18 pasaran menunjukkan pengguna terus membuat perubahan gaya hidup mampan dan pelaburan untuk mengurangkan bil tenaga dan kesan alam sekitar.

Ketidaktentuan, kenaikan harga dan kejatuhan banyak pembekal tenaga dalam beberapa pasaran yang kompetitif telah menjejaskan keyakinan pengguna terhadap asas tenaga konvensional.
Menurut EY, berbanding sebelum ini, pengguna kini lebih berminat terhadap tenaga bersih dan sedia menerima pakai penyelesaian baharu seperti kenderaan EV dan memanfaatkan bumbung rumah mereka dengan pemasangan solar.

Apabila pengguna sudah bersedia, persoalan kedua adakah industri juga bersedia dengan peralihan ini? Jika industri tidak bersedia maka rantai bekalan akan terputus dan hasrat pengguna tidak akan tercapai.
Berdasarkan kepada laporan, dalam tempoh dua tahun lalu lonjakan dalam penyediaan khidmat pembekalan tenaga boleh baharu terutama solar telah memperlihatkan lonjakan dalam pasaran.

Pada 2022 misalnya, industri solar kediaman mencatatkan peningkatan 56 peratus dalam pemasangan berbanding 2021.
Ini menunjukkan trend permintaan oleh penggunaan dan bekalan oleh industri adalah seimbang. Terbukti industri bersedia kepada peralihan tenaga seperti yang dimahukan oleh pengguna.

Pakar dalam mengendalikan ladang solar berskala besar

Selain permintaan sektor domestik yang kecil-kecilan, pihak industri di Malaysia juga pakar dalam mengendalikan ladang solar berskala besar termasuk di luar negara.Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan ketara ini termasuk kos pemasangan solar makin rendah, pilihan pembiayaan yang lebih baik, dasar kerajaan dan kesedaran yang tinggi tentang faedah alam sekitar RE.

Pemain industri di Malaysia ada keupayaan dan kepakaran

Selain itu, pemain industri di Malaysia ada keupayaan dan kepakaran termasuk menghasilkan panel solar selain jurutera dan juruteknik yang hebat.
Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), program nyahkararbon atau decarbonization di seluruh dunia telah dipercepatkan membabitkan pelaburan AS$1.7 trilion pada tahun ini. Walaupun AS$1 trilion akan dibelanjakan untuk fosil, pelaburan tenaga bersih tahunan dijangka meningkat sebanyak 24 peratus.

Perkembangan global ini turut mencerminkan apa yang berlaku di Malaysia dengan semakin banyak entiti swasta mula memberi keutamaan kepada pelaburan dalam tenaga hijau.

(NEM), (SARE), NETR ,HETR

Persoalan ketiga yang per­lu dijawab adalah sama ada kerajaan juga telah ber­sedia? Bersedia ini bukan sekadar berasaskan kepada pengumuman sahaja, tetapi disokong daripada segi komitmen dan dasar yang jelas.
Pada masa ini kita sudah ada pelbagai polisi berkaitan tenaga boleh baharu seperti permeteran tenaga bersih (NEM), Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dan yang paling utama ialah NETR dan HETR.

Namun di sebalik polisi yang diperkenalkan ini masih ada kekeliruan dan salah faham dalam pelaksanaannya hingga membebankan pihak industri.
Misalnya, pelaksanaan Akta Kecekapan dan Pengurangan Tenaga. Pelaksanaan akta ini bagus bagi menyokong penjimatan tenaga, tetapi syarat yang dikenakan agak membebankan.

Syarat supaya industri yang menggunakan tiga kilowatt tenaga per jam untuk enam bulan wajib melantik pengurus tenaga menyebabkan kos yang ditanggung oleh industri akan bertambah.

Selama 20 tahun pihak industri menunggu akta ini menjadi realiti tetapi hasilnya agak mengecewakan kerana ia dilihat lebih membebankan kerana untuk mengupah seo­rang pakar yang mahir seperti itu sudah tentu kosnya tinggi.
Malah pihak industri juga agak kecewa dengan Greentech Financing Scheme yang sebelum ini dijanjikan 60 peratus pinjaman kepada mereka yang layak, tetapi sekarang dipindahkah kepada Dana Jamin. Akibatnya ia tidak dapat dimanfaatkan oleh industri terutama sektor industri kecil dan sederhana (SME).

Dalam menggalakkan rakyat dan industri beralih kepada sumber tenaga lebih mampan, kerajaan juga kena bersedia dengan polisi-polisi yang jelas dan telus tanpa ada klausa-klausa tersembunyi.

Kita kena ikhlas bertanya adakah polisi yang ada sekarang dapat membantu sasaran netzero karbon 2030 dan 2050?
Secara dasarnya, kita sememangnya sudah bersedia dengan peralihan tenaga. Cuma perlu perkemaskan kekurangan dan kelemahan serba sedikit di sana sini.

  • Oleh GUNTOR TOBENG
  • 5 November 2023, 11:37 amDato’ (Dr.) Ir. Guntor Tobeng adalah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd.
Leave a Comment
*Please complete all fields correctly