PETALING JAYA: Selepas lima tahun terpisah, seramai 140 individu komuniti etnik Mandailing kembali bersua menerusi Jamuan Jalinan Mesra Keluarga Besar Mandailing melibatkan pertemuan empat generasinya, hari ini.
Pengerusi Persatuan Jaringan Mandailing Saroha, Datuk Dr. Guntor Tobeng berkata, majlis tersebut mempertemukan generasi keempat hingga ketujuh daripada pelbagai rumpun yang tinggal di negara ini.
“Terdapat beberapa marga (rumpun) Mandailing di negara ini seperti Lubis, Nasution, Siregar, Tobeng dan lain-lain lagi yang pernah membuat perancangan untuk berkumpul dalam satu majlis pada tiga tahun lalu, namun terbantut kerana Covid-19.
“Tetapi, akhirnya kami dapat bertemu berkenalan antara generasi dalam satu majlis dan diserikan lagi dengan kehadiran penyanyi tersohor tanah air, Datuk Sheila Majid yang juga merupakan berketurunan Mandailing,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.
Jelasnya, menerusi majlis sedemikian, ramai keturunan etnik itu dapat dipertemukan dan berhasrat untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan supaya lebih ramai lagi dapat dihimpunkan pada masa akan datang.
Sementara itu, Sheila ketika ditemui memaklumkan bahawa ibunya, Datuk Paduka Saadiah Adam berasal daripada marga Lubis.
https://www.utusan.com.my/berita/2023/05/jalinan-mesra-empat-generasi-etnik-mandailing/
GUNTOR Tobeng (duduk, enam kanan) dan Sheila Majid (duduk, enam kiri) bergambar bersama sebahagian komuniti etnik Mandailing yang hadir pada majlis Jamuan Jalinan Mesra Keluarga Besar Mandailing di Kelab Golf Negara, Subang, di Petaling Jaya, Selangor, hari ini. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
About The Author
Othman