ALOR SETAR: Gading Kencana Sdn. Bhd. tawar untuk memberi latihan keusahawanan solar kepada kariah masjid di seluruh negara selari dengan dasar kerajaan berkaitan peralihan tenaga.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Dato’ (Dr.) Ir. Guntor Tobeng berkata, impak daripada penyertaan 40 ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Aman dalam latihan itu kelmarin sangat memberangsangkan bagi pihaknya.
Program anjuran bersama jawatankuasa Masjid Aman
“Program anjuran bersama jawatankuasa Masjid Aman melibatkan kariahnya di mana kita hadir untuk memberi penerangan, latihan dan pendedahan khusus berkaitan industri peralihan tenaga. Ini bagi mendedahkan bagaimana ahli kariah memainkan peranan untuk menyokong dasar kerajaan sifar karbon.
“Sambutan sangat memuaskan kerana mereka pun faham apa itu peralihan tenaga dan berharap program lanjutan dapat dilaksanakan. Mereka nampak bersedia dan tunggu cadangan daripada kita untuk sahut seruan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Latihan Keusahawanan Solar di Masjid Aman, di sini.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
Beliau menambah, pihaknya berharap lebih banyak masjid terutama di negeri ini turut serta dalam program seumpama itu sebagai persediaan menghadapi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk menceburi bidang berasaskan solar terutama sebagai usahawan.
“Ini satu perkara baik, usaha yang dibuat Jawatankuasa Masjid Aman patut dicontohi oleh pengurusan masjid-masjid lain. Ia sangat memberansangkan dan saya sebagai usahawan dalam bidang ini teruja untuk memberikan mereka latihan.
“Mereka memberi maklum balas dengan begitu baik. Fokus program ini adalah pertama memberi penerangan apakah itu industri peralihan tenaga, kedua apakah peluang yang ada dalam bidang ini dan bagaimana rakyat biasa boleh mengambil bahagian,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan lebih banyak masjid di seluruh negeri ini yang mempunyai visi luas menceburi bidang tersebut.
“Ini adalah masjid pertama kalau boleh lebih banyak masjid turut serta memandangkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bercadang untuk memasang solar di masjid negeri ini, jadi ini adalah persediaan mereka. Kedah memang ke hadapan dalam bidang ini.
“Harapan kami adalah lebih banyak kariah masjid buat program seumpama ini yang secara tidak langsung menunjukkan minat rakyat terhadap industri peralihan tenaga ini tinggi,” katanya.
Dato (Dr.) Ir. Guntor Tobeng Bersama dengan para peserta latihan keusahawanana solar
Dato (Dr.) Ir. Dato (Dr.) Ir. Guntor Tobeng beri taklimat pada para peserta latihan keusahawanana solar
About The Author
Othman